Wednesday, March 18, 2009

TUKAR CAKAP JADI PERBUATAN


KETIKA pemimpin Kumpulan 20 (G-20) bersiap sedia untuk pertemuan di London awal bulan depan, mereka sebenarnya berdepan dengan cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Ekonomi global diramal mengecut tahun ini untuk kali pertama sejak Perang Dunia Kedua. Bank Dunia meramalkan dagangan dunia merekodkan penurunan terburuk dalam tempoh 80 tahun dengan kesan paling ketara di Asia Timur.
Negara saya, Malaysia, adalah sebuah daripada negara yang ekonominya berasaskan dagangan. Nisbah dagangan luar kami berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 200 peratus, tertinggi berbanding ekonomi lain kecuali Hong Kong dan Singapura. Kami makmur kerana berjaya mengenal pasti kuasa dagangan dan nilai pasaran. Namun semua ini memerlukan langkah pragmatik dan bukannya sekadar ideologi sahaja. Dan ia menjadi lengkap dengan wujudnya kesedaran bahawa kerajaan juga mempunyai peranan kritikal untuk menjayakannya.

Krisis ekonomi global membuktikan bahawa kebergantungan terhadap tingkah laku pasaran sahaja tidak mencukupi untuk mempromosikan kestabilan dan pembangunan ekonomi jangka panjang. Kita mempunyai pilihan apabila dilanda krisis ekonomi. Kita boleh memilih untuk berdiri sendiri atau menggunakan duit awam bagi menggantikan modal swasta yang hilang, atau melabur dalam modal insan. Bagi jangka pendek, tindakan ini menyediakan pekerjaan dan peluang lain. Dalam jangka panjang pula, ia menyediakan asas-asas untuk pemulihan. Pakej rangsangan bukannya untuk mewujudkan polisi-polisi popular atau mengagihkan tunai. Dan ia juga tidak seharusnya menumpukan kepada satu kumpulan atau kawasan tetapi memberi faedah kepada seluruh negara. Ia mengenai usaha mencapai impak maksimum. Dengan krisis ekonomi global yang masih belum terurai, kami memfokuskan kepada usaha menyemarakkan pelaburan dan aliran kredit selain menyediakan jaminan kerajaan dan pengembangan infrastruktur.

Pelaburan asing di Malaysia diramal jatuh sebanyak 50 peratus kepada RM26 bilion (AS$7.22 bilion) pada tahun ini. Ini bermakna, kami mesti sama ada memberi respons secara domestik, atau membenarkan negara kami kehilangan tahun-tahun berharga ini di saat kami sepatutnya bekerja keras untuk membina sebuah masyarakat yang lebih baik. Maka itulah pada 4 November lalu, saya mengumumkan pakej rangsangan pertama sebanyak RM7 bilion. Dan ia juga menjawab kenapa pada 10 Mac lalu, saya mengumumkan pakej rangsangan kedua sebanyak RM60 bilion. Mengambil kira sembilan peratus KDNK Malaysia, RM60 bilion itu sendiri merupakan pakej rangsangan terbesar dalam sejarah negara kami. Sesetengah pihak berkata, jumlah itu terlalu tinggi. Namun dengan kadar hutang luar kami yang rendah, simpanan antarabangsa yang besar dan kecairan sektor perbankan yang besar, kami mempunyai keupayaan untuk membiayainya. Mengambil kira magnitud krisis ekonomi global semasa, saya berasa sangat yakin risiko bukanlah sesuatu yang kami perlu hadapi tetapi ialah peluang yang kami tidak manfaatkan sepenuhnya.

Kami tahu akhirnya krisis ini akan pulih dan paras dagangan normal akan diteruskan. Apabila itu berlaku, kami mahu Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk mengambil peluang ke atas proses pemulihan itu. Dan kerana itulah kami memutuskan untuk mengimbangi keperluan jangka pendek dengan berusaha membangun untuk masa depan. Suku daripada dana Bajet Mini tersebut merupakan peruntukan untuk memenuhi keperluan segera rakyat sementara baki 75 peratus ialah untuk jangka sederhana dan panjang bagi matlamat pembangunan. Adalah penting kepada negara-negara untuk terus bersifat kompetitif. Cukai korporat Malaysia sebanyak 25 peratus setanding dengan negara lain di rantau ini. Bagaimanapun mengambil kira pelbagai insentif yang ditawarkan kepada pelabur, kadar cukai efektif negara ini ialah antara 3 hingga 7 peratus. Keberkesanan pelaksanaan adalah penting dalam setiap kejayaan pakej rangsangan di mana-mana negara. Kami telah pun menubuhkan jawatankuasa teknikal untuk memantau pelaksanaan tersebut. Ia akan memantau dan mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Saya kemudiannya akan melaporkan semua perkembangan itu kepada pihak yang menjadi penerima manfaat utama daripada pakej tersebut iaitu rakyat Malaysia. Merekalah hakim sebenar untuk menilai kejayaan Bajet Mini tersebut.

Di Malaysia, kami mempelajari asas fundamental daripada krisis kewangan 1997. Hasilnya kami memperoleh kesepakatan dan kerjasama sektor kewangan dan perbadanan. Kami bernasib baik hari ini kerana mempunyai infrastruktur yang baik, kemahiran teknologi, kepelbagaian ekonomi dan sumber tenaga berkualiti. Secara keseluruhan, kami berada pada kedudukan lebih baik untuk menghadapi iklim baru ekonomi pasca 1997. Kini kami memerlukan transformasi ekonomi untuk jangka panjang. Kami akan menggunakan situasi semasa ini untuk menempa model ekonomi baru yang meletakkan pengetahuan sebagai elemen utama. Kami akan melabur dalam teknologi dan pendidikan, memperkukuhkan keupayaan Malaysia untuk menerajui teknologi maklumat, memperbaharui tenaga dan pelbagai sektor ekonomi baru.

Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan bakat, tenaga dan semangat rakyat. Kami akan membantu dengan keupayaan yang kami ada untuk menyediakan kemakmuran berpanjangan dengan berusaha menyebarkan toleransi dan hormat di antara gender, budaya, kaum, agama dan bangsa. Kami akan memperjuangkan permuafakatan kerana ia bukan hanya sekadar asas untuk kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi tetapi kerana kami percaya ia merupakan elemen terpenting.
Dalam situasi mencabar dengan jutaan penduduk bergantung kepada pembangunan dan kemajuan, Malaysia terus bergerak ke depan. Kami akan membina Malaysia sekali lagi. Apabila pemimpin G-20 bertemu bulan depan, saya berharap semua negara juga akan mengambil posisi yang sama. Inilah masanya untuk menukar percakapan kepada perbuatan. Pemulihan ekonomi dunia akan bergantung kepada usaha-usaha bersepadu daripada semua negara dan kami di Malaysia juga akan memainkan peranan kami.

RENCANA ini adalah terjemahan artikel di dalam Wall Street Journal.

No comments:

Post a Comment