Tuesday, March 17, 2009

PEROMPAK BAWAH KATIL


MUAR: Dua penjenayah yang panik dengan kehadiran polis bertindak bersembunyi di bawah katil dalam bilik sebuah rumah yang dipecah masuk mereka di Taman Sungai Abong Indah, dekat sini awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, dua lelaki berusia awal 20-an terbabit bersama seorang rakan memecah masuk rumah peniaga pasar, Teo Seong Hwa, 37, manakala seorang lagi rakan mereka bermotosikal menunggu di luar rumah. Bagaimanapun, kegiatan jenayah mereka disedari jiran mangsa yang kebetulan bangun daripada tidur untuk membancuh susu anaknya sebelum menghubungi polis yang tiba tidak lama kemudian. Dua perompak berusia awal 20-an itu dipercayai tidak sempat melarikan lari lalu bersembunyi di bawah katil, tetapi dua lagi rakan mereka berjaya memboloskan diri selepas menyedari kehadiran kereta peronda polis. Kejadian itu hanya disedari pemilik rumah berkenaan yang sedang tidur apabila dikejutkan polis yang mahu melakukan pemeriksaan di rumah terbabit. Teo berkata, beliau bersendirian ketika kejadian itu kerana ibu bapanya bercuti di Genting Highlands dan tidak menyedari rumahnya dipecah masuk. “Hanya selepas polis tiba, baru saya terjaga daripada tidur sebelum polis menemui dua lelaki bersembunyi di bawah katil dalam sebuah bilik di tingkat bawah dan menahan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. Katanya, beberapa bilik di rumah dua tingkat itu digeledah perompak manakala wang tunai RM800 dan barang kemas bernilai kira-kira RM2,000 miliknya juga didapati hilang. Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Lee Choon Guan, berkata polis masih menjalankan siasatan kes itu dan sedang memburu saki baki kumpulan penjenayah berkenaan.

No comments:

Post a Comment