Monday, March 16, 2009

ISU PPSMI : BAHASA MELAYU TETAP UNGGUL


TUNJUK perasaan jalanan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) minggu lalu telah memaksa saya menyelami perjuangan mengenai isu ini. Memang benar, sekalipun Matematik dan Sains adalah dua mata pelajaran sahaja tetapi kedua-dua mata pelajaran itu adalah asas kepada pelbagai pecahan ijazah serta sijil profesional seperti kejuruteraan, perubatan, arkitektur dan sebagainya. Apa yang ditakuti adalah apabila bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ilmu ketamadunan Melayu dunia. Namun demikian, ramai juga rakyat merasakan niat murni kerajaan dalam PPSMI patut diteruskan dalam membentuk serta menyiapkan bangsa yang mempunyai tahap survival tinggi demi memudahkan ia bersaing di pentas dunia.
Bagi saya ini adalah dua cadangan yang perlu dipertimbangkan sebijak mungkin kerana PPSMI adalah suatu saranan yang bernatijahkan kebaikan namun ditentang sebilangan rakyat Malaysia.

Jika kita kaji usaha pembangunan e-book digital dunia di peringkat akhir yang diusahakan syarikat Amazon.Com, kita akan dapati buku berbentuk digital bakal mengambil alih percetakan buku masa hadapan. Struktur percetakan buku di peringkat global juga menunjukkan martabat golongan penterjemah bahasa diangkat menjadi golongan terpenting yang memegang amanah utama untuk membawa generasi masa hadapan memenuhi ilmu di luar jangkauan. Oleh demikian, persoalan mengenai sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia sudah pun terjawab sebenarnya! Kedua-duanya masih relevan selagi golongan penterjemah bahasa Melayu dan Inggeris terus wujud, masih belum malas, masih boleh menaip dan masih boleh dipertanggungjawabkan. Yang kesalnya, tindakan tunjuk perasaan jalanan dirasakan agak keterlaluan sedangkan semua tahu bahawa keputusan kajian mengenai isu PPSMI sedang dirumuskan oleh pihak kerajaan. Untuk menyedapkan hati, biarlah saya yakin ia didalangi pihak pembangkang.

KRISIS EKONOMI PALING DAHSYAT SEJAK PERANG DUNIA KEDUA


Pada hari Jumaat lalu, Indeks Komposit Bursa Malaysia (KLCI) terus menjunam di bawah 850 mata, suatu tahap yang amat rendah sejak tahun 2006. Sekalipun saya masih tidak setuju dengan kebanyakan rakyat meletakkan KLCI sebagai indeks kedudukan ekonomi Malaysia, namun indeks ekonomi lain seperti peratus pertumbuhan ekonomi, KDNK, indeks pengguna dan pelaburan asing langsung (FDI), juga rata-rata menunjukkan ekonomi Malaysia sudah berada di tahap zon kritikal. Ini terbukti setelah Datuk Seri Najib mengisytiharkan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua Malaysia, disusuli pula dengan tindakan Perdana Menteri Jepun minggu lalu yang mengeluarkan arahan untuk menyiapkan Pakej Rangsangan Ekonomi Jepun Ketiga. Senario ekonomi kini diistilahkan Jepun sebagai ‘krisis ekonomi paling genting selepas Perang Dunia Kedua’. Kenaikan harga minyak saranan Iran melalui OPEC sememangnya berjaya membuat rejim Amerika-NATO terkedu terhadap cadangan tindakan untuk menyerang Iran; negara yang dituduh Bush memiliki senjata pemusnah nuklear. Sekalipun cadangan Iran itu adalah untuk sementara, namun kesannya berjaya menghancurkan empayar ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi bukan sahaja di Amerika tetapi juga menarik jatuh sama blok-blok ekonomi lain. Ini kerana sistem ekonomi kapitalis termasuk sistem perdagangan bebas WTO/AFTA sudah berakar umbi di serata dunia.

Ternyata dakwaan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap penyangak matawang Soros sekitar 1997-1998 membuatkan saya begitu yakin bahawa sistem kapitalis akan musnah seperti sistem ekonomi sosialisme dan komunisme. Membuat keuntungan daripada sistem tukaran asing melalui ‘spekulasi serta ramalan’ adalah haram. Konsep sistem kewangan Islam yang bersandarkan aset secara realitinya adalah hakiki dan kini dibuktikan kebal daripada mana-mana krisis ekonomi. Buka-bukalah mata, sekalipun kita berdiri megah sebagai pusat kecemerlangan sistem kewangan Islam dunia, Malaysia masih lagi belum terlepas daripada krisis ekonomi kerana kebanyakan sistem ekonomi kita dipengaruhi kuat oleh ‘spekulasi serta ramalan’ terutamanya dalam jual-beli saham dan komoditi, kadar penetapan pembiayaan kewangan dan harga bon-bon terbitan, kelulusan pembiayaan perbankan dan keputusan untuk menentukan harga minyak. Selagi sistem ekonomi Malaysia tidak bersandarkan pada realiti dan kewujudan sebenar, selagi itulah kita tidak akan merdeka dan sentiasa terjerumus bersama setiap kali berlakunya krisis ekonomi dunia.
Secara ringkasnya, banyak lagi perlu kita lakukan untuk menghadapi krisis ekonomi dunia, tetapi sebaliknya kita masih lagi khayal berseronok melayan kerenah politik negara. Krisis ekonomi paling dahsyat selepas Perang Dunia Kedua sudah pun tiba dan tidak lagi dapat kita elakkan bak kata pepatah Melayu, ‘membujur lalu melintang patah’.


FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris).

No comments:

Post a Comment