Monday, March 16, 2009

MEMBENDUNG GENERASI MAKANAN RINGAN


Membendung generasi makanan ringan
Oleh Melati Mohd Ariff


Kanak-kanak menjadi menjadi semakin terpengaruh dengan pelbagai jenis snek atau makanan ringan yang dijual penjaja di luar bangunan sekolah. APA yang anak anda makan hari ini? Kalau di rumah, anda mungkin dapat mengawal makanan mereka.Di sekolah, mereka mungkin makan makanan yang anda bekalkan atau membeli makanan yang dijual di kantin.Apabila loceng berbunyi di akhir sesi sekolah, lain pula ceritanya. Anak-anak anda mungkin mengisi perut mereka dengan snek atau makanan ringan apalagi bila masih ada banyak duit belanja di saku.Antara sedar atau tidak, dari hari ke hari, anak-anak sebenarnya menjadi semakin terpengaruh dengan pelbagai jenis snek atau makanan ringan yang dijual penjaja di luar bangunan sekolah. Rata-rata makanan ringan ini tidak mengandungi khasiat malah mungkin akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang!


Bagi menyedapkan rasa, kebanyakan makanan snek ini mengandungi monosodium glutamate (MSG). Malah ada juga snek yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula. Ada juga snek yang disertakan dengan barang permainan yang dijadikan sebagai umpan pembelian.Snek atau makanan ringan semakin menjadi isu besar khususnya dalam kalangan generasi muda yang juga boleh menjurus kepada pelbagai isu kesihatan jika dibiarkan berleluasa.Menurut Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N. Marimuthu, menyedari seriusnya isu makanan ringan dalam kalangan generasi muda global pada hari ini, Hari Hak Pengguna Sedunia 2009 yang disambut pada Ahad lalu sekali lagi menyokong kempen Consumers International (CI) untuk memerangi isu makanan ringan.Kempen yang dijalankan CI ini bertajuk Generasi Makanan Ringan: Kempen Menghentikan Pemasaran Makanan Tidak Sihat kepada Kanak-Kanak.CI yang ditubuhkan pada 1960 adalah gabungan persatuan-persatuan pengguna sedunia. Ia kini mempunyai 220 anggota di 15 buah negara.

Isu obesiti
Kegemukan atau obesiti sering dikaitkan dengan tabiat pengambilan makanan seseorang individu.Kanak-kanak yang obes mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk membesar sebagai orang dewasa yang obes serta dijangkiti pelbagai penyakit kronik.Menurut Marimuthu kepada Bernama, peningkatan dalam pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam serta kekurangan aktiviti fizikal juga boleh menjadi punca berlaku penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser.Penyakit-penyakit itu, katanya, boleh menyebabkan kematian, perubahan taraf hidup dan peningkatan kos penjagaan kesihatan.Beliau berkata, sekurang-kurangnya 22 juta kanak-kanak di seluruh dunia berusia lima tahun didapati mengalami masalah berat badan yang berlebihan dan kegemukan.

Tindakan segera, tegasnya, perlu dilakukan bagi mencegah merebaknya epidemik obesiti kanak-kanak.Menurut Marimuthu, Kementerian Kesihatan menjalankan kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional (HMNS) setiap 10 tahun dan terdapat hasil kajian yang mengejutkan dalam kajian terkini, NHMS III (2006)."Bagi golongan dewasa berumur 30 tahun ke atas, jumlah rakyat Malaysia yang mengalami berat badan yang berlebihan mencecah 29.1 peratus dan bagi obesiti pula 14.0 peratus berbanding kadar pada NHMS II (masing-masing 16.6 peratus dan 4.0 peratus)."Untuk penyakit kronik pula, kadar pesakit diabetes meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada 14.9 peratus dan bagi hipertensi, peningkatan yang mengejutkan dicatat iaitu 12.7 peratus kepada 42.6 peratus dalam kalangan orang dewasa Malaysia," katanya.Sejak awal 2007, Kementerian Kesihatan, menurut Marimuthu, membelanjakan sebanyak RM180 juta atau 20 peratus daripada bajet tahunan RM900 juta bagi kos ubat untuk penyakit kronik iaitu hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi."Jumlah pesakit pula dijangka meningkat sebanyak 13 peratus pada 2020," kata Presiden Fomca itu.

Pemasaran makanan
Tarikan untuk membeli apa jua produk bergantung sebahagian besarnya kepada kaedah pemasaran yang digunakan oleh industri makanan khususnya untuk memancing perhatian pembeli muda.Antara taktik pemasaran umum yang sering disasarkan kepada kanak-kanak dan remaja ialah iklan televisyen, penajaan program, tarikan alat permainan, promosi atas pembungkusan dan penajaan watak kartun atau selebriti.Di samping itu, industri makanan juga mengadakan peraduan, memberikan barangan percuma, penajaan aktiviti sekolah serta mengadakan promosi jualan secara besar-besaran menerusi penyebaran risalah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2006 dalam laporannya bertajuk Pemasaran Makanan dan Minuman Bukan Alkohol di Kalangan Kanak-Kanak, menekankan bahawa ada bukti menunjukkan bahawa pemasaran makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam memberi kesan langsung dengan kehendak kanak-kanak untuk memakan makanan itu yang kemudian menyebabkan masalah obesiti.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa kanak-kanak lebih cenderung untuk memilih makanan yang berjenama berbanding makanan tidak berjenama walaupun ia makanan yang sama.
Marimuthu menarik perhatian bahawa Pasukan Petugas Obesiti Antarabangsa (IOTF) dalam menyusun strategi sejagat mencegah obesiti kanak-kanak 2006 membuat rumusan berikut:
"Amalan pemakanan kanak-kanak di seluruh dunia termasuk di negeri China dikuasai oleh makanan dan minuman yang tidak sesuai bagi mereka.
"Industri sering menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran untuk produk yang dikeluarkan bagi memupuk kesetiaan kepada jenama pelbagai produk, seperti alat permainan sehingga kepada makanan dan minuman.
"Kegiatan memperdagang produk kepada kanak-kanak telah mewujudkan persepsi, pemahaman dan pengetahuan kabur kanak-kanak tentang amalan pemakanan yang sihat. Ini boleh memberikan kesan negatif yang ketara terhadap pembesaran kanak-kanak."

No comments:

Post a Comment