SIKAP ibu bapa yang suka mempertahankan anaknya daripada dihukum selepas didapati melanggar peraturan sekolah boleh dianggap kes terpencil, namun perlu diberi perhatian bagi mengelakkan terus menular, sekali gus menimbulkan masalah dalam sistem pendidikan negara. Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata walaupun pihaknya jarang menerima laporan sedemikian, namun tidak menafikan perkara itu berlaku. Katanya, pengaruh persekitaran membuatkan pergaulan antara ibu bapa dengan anak serta pelajar dengan guru berubah kerana kini ibu bapa sibuk dan tidak mengikuti perkembangan anak mereka sepenuhnya. “Terdapat juga ibu bapa yang hanya melihat anaknya ketika menghantarnya ke sekolah. “Apabila keadaan ini berlaku, anak kurang berkomunikasi dengan ibu bapa seterusnya mencari pergaulan alternatif iaitu kawan. Jika kelompok rakan itu baik, tiada masalah, namun bagaimana pula jika sebaliknya? “Kebanyakan remaja bukan jahat, mereka mempunyai perasaan suka mencuba dan mencari keseronokan,” katanya. Seorang pesara tentera, Mokhtar Jamil, 64, berkata isu sebegini berlaku kerana rasa hormat ibu bapa serta pelajar terhadap guru kian luntur dan keadaan itu jelas berbeza ketika zaman beliau bersekolah. “Dulu, guru adalah antara golongan yang sangat dihormati dan disegani masyarakat serta martabat mereka tinggi. Guru seperti seniman yang mempunyai kelas tersendiri. “Pelajar dulu jika dihukum sampai lebam pun, apabila pulang ke rumah tidak berani bersuara, apatah lagi membabitkan guru kerana sedar mereka bersalah dan akan ditambah hukuman oleh ibu bapa jika mengadu. “Mungkin kredibiliti guru sekarang menjadi antara punca masalah ini berlaku. “Remaja hari ini memohon jawatan guru adalah pilihan terakhir selepas tidak mendapat tempat di sektor lain, sekali gus menjadikan institusi perguruan hilang aura,” katanya. Sementara itu, seorang peniaga, Rozita Bahari, 33, pula berpendapat ibu bapa tidak seharusnya mencampuri urusan guru dalam mendidik anak mereka, sebaliknya memberi kepercayaan kepada pihak sekolah sepenuhnya. “Jangan terlalu memanjakan anak dan mempercayai cakap mereka, sebaliknya selidik terlebih dulu serta bersemuka dengan pentadbir jika timbul masalah membabitkan disiplin kerana anak sekarang bijak menokok tambah,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment