Monday, March 16, 2009

KONGSI KERETA : ANTARA IMPIAN DAN REALITI


Kongsi kereta: Antara impian dan realiti
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

KENA berkongsi kereta! Oh, sungguh melecehkan! Tidak bebas dan tiada privasi. Kena tunggu seorang demi seorang, bukan semuanya boleh tepati masa. Buang masa dan jika ada urusan sendiri, terpaksa dibatalkan kerana telah terikat dengan komitmen ini. Itulah sebahagian daripada alasan yang diberikan oleh para pengguna jalan raya apabila kempen kongsi kereta mahu diperkenalkan sedikit masa lalu sebagai cara mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin ‘parah’ di bandar raya Kuala Lumpur. Selain itu, terdapat juga rungutan-rungutan lain seperti tidak selesa, rasa curiga, takut timbul salah faham dan fitnah bagi yang berkongsi lain jantina, bimbang tentang keselamatan dan sebagainya. Sebenarnya, kempen berkongsi kereta ini bukan perkara baru. Idea ini telah muncul buat pertama kali pada awal tahun 1970-an semasa pasukan pakar pengangkutan awam dari Bank Dunia mengkaji kesesakan trafik di Kuala Lumpur.

Malah, pada tahun 1980-an semasa Datuk Shahrir Abd. Samad menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, kempen berkongsi kereta ini muncul lagi. Begitu juga semasa Datuk Seri Ling Leong Sik menjadi Menteri Pengangkutan. Bagaimanapun, kempen akhirnya tinggal kempen dan hanyut mengikut waktu dengan alasan penduduk Kuala Lumpur belum benar-benar bersedia. Memang ada yang menyambut baik idea tersebut, namun jumlah yang mengamalkan kongsi kereta ke tempat kerja boleh dikira dengan jari. Ada juga pihak swasta atau individu yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran. Mereka menggunakan konsep pendaftaran maklumat diri, pekerjaan, pejabat dan lokasi dan padankan dengan perkhidmatan yang disediakan. Apa yang ketara, saban tahun kenderaan memasuki pusat bandar semakin bertambah dan masalah kesesakan lalu lintas tiada kesudahannya.
Pakar Pengangkutan Awam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor berkata, kegagalan kempen berkongsi kereta kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Sepatutnya kata beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus memulakan kempen ini bagi menggalakkan orang ramai berkongsi kereta.

‘‘Memang kongsi kereta bukanlah mudah, tetapi saya percaya ia boleh dijayakan jika terdapat portal kongsi kereta (PKK) secara percuma. Portal ini harus dikendalikan oleh DBKL bagi penghuni di Lembah Klang mendaftar dan mendapatkan perkhidmatan kongsi kereta yang berpadanan. ‘‘Dalam portal itu nanti, pengguna kereta perlu mendaftarkan nama, alamat rumah, alamat pejabat, laluan, nombor telefon dan sebagainya bagi dipadankan dengan pasangan kereta lain yang sama kepentingan, tujuan, laluan dan destinasi,’’ katanya ketika ditemui di Bangi, Selangor, baru-baru ini. Kata Dr. Abd. Rahim, buat masa ini tidak ada mekanisme yang mudah yang boleh digunakan oleh pengguna kenderaan untuk mendapatkan rakan berkongsi kereta. Atas sebab itu juga orang ramai lebih suka memandu sendirian walaupun beribu-ribu kenderaan melalui laluan dan menuju destinasi yang sama setiap hari. Terdapat beberapa masalah lain yang perlu dicari jalan penyelesaian terlebih dahulu sebelum dapat menjayakan kempen berkongsi kereta.

Antaranya, masalah waktu kerja yang tidak sama seperti yang berkerja malam atau mengikut syif seperti jururawat, perhotelan, restoran dan sebagainyam yang susah untuk mendapat rakan kongsi kereta. Selain itu, masalah keselamatan terutama bagi pengguna kenderaan perempuan, di mana wujud perasaan tidak percaya kepada rakan kongsi kereta mereka terutama yang berlawanan jantina.
Bagaimanapun, kata Abd. Rahim, sesuatu perlu dimulakan dari sekarang kerana jika tidak masalah kesesakan tidak mungkin dapat diatasi. ‘‘Justeru pada pendapat saya, sekiranya DBKL boleh menjayakan PKK dan berkerjasama dengan syarikat telekomunikasi iaitu dengan menggunakan perkhidmatan telefon bimbit, impian ini pasti dapat dilaksanakan. ‘‘PKK hanya untuk tujuan pendaftaran, tetapi telefon bimbit bagi mendapatkan padanan pasangan berkongsi kereta menggunakan kod laluan seperti kod 1- laluan dari Bangi ke Jalan Duta, kod 2- laluan Shah Alam ke Cheras dan sebagainya,” katanya. ‘‘Maka individu yang mempunyai padanan dengan kawasan kod itu boleh memberi maklum balas bagi mendapatkan rakan kongsi kereta. Ini merupakan konsep yang berjaya dan telah dijalankan di Helsinki, Finland dan Frankfurt, Jerman.
“Terdapat dua konsep dalam berkongsi kereta iaitu sama ada dengan bertukar-tukar kereta, sebagai contoh minggu ini kereta kita dan minggu depan kereta dia tanpa perlu bayaran atau menggunakan satu kereta saja dan yang menumpang dikenakan bayaran,” kata Abd. Rahim lagi.
Melaksanakan program kongsi kereta

‘‘Untuk melaksanakannya, ia juga mesti ada program pelengkap iaitu tol dalam bandar yang menjadi alat menyekat kereta persendirian memasuki pusat bandar.
“ Singapura telah memulakannya pada awal tahun 70-an dengan program Area Licensing Scheme di mana kereta persendirian yang dalamnya terdapat kurang daripada empat orang diwajibkan membayar ‘lesen’ untuk masuk ke pusat bandar. ‘‘Bagaimanapun, pada tahun 2000, skim itu telah dipermodenkan dengan menggunakan teknologi wireless dan touchless, iaitu kaedah mengutip tol tanpa bayar dengan meletakkan tiang-tiang di sekitar sempadan pusat bandar dan di atasnya terdapat alat untuk menolak nilai pada kad khas yang diletakkan pada kereta. ‘‘Melihatkan Singapura berjaya, London pula melaksanakan skim yang hampir sama iaitu London Cordon Pricing bagi mengenakan bayaran terhadap kereta yang memasuki kota itu,’’ katanya yang memperoleh Doktor Falsafah (Ph.D) dari University of Sheffield, United Kingdom. Berbeza pula di Kuala Lumpur, kata Abd. Rahim, sekatan yang dimaksudkan ialah tol-tol yang berada di sekeliling sempadan pusat bandar yang tujuannya untuk mengaut keuntungan bagi membiayai kos pembinaan sesuatu jalan dan bukannya menyekat kemasukan kenderaan.

‘‘Di Kuala Lumpur sendiri, sekiranya tiada sebarang langkah penyekatan, hanya mengharapkan tol-tol tersebut, maka jumlah trafik bandar pada tahun 2020 akan menjadi dua kali ganda daripada tahap trafik sekarang. “Oleh itu DBKL perlu mempunyai perancangan yang boleh menjayakan sekatan tersebut,” katanya.
Mengapa Singapura dan London berjaya? Mengulas mengenai kejayaan Singpura dan dan London melaksanakan kempen berkongsi kereta, Abd. Rahim mempunyai jawapan sendiri. Pertama katanya, di Singapura, Pihak Berkuasa Tanah dan Pengangkutan (Land and Transport Authority) diberi kuasa yang penuh untuk merancang bandar tanpa sebarang gangguan. Begitu juga dengan City of London di mana datuk bandarnya diberi kuasa untuk melaksanakan program yang telah dipersetujui dengan sepenuhnya. Sehubungan itu, DBKL juga harus diberi kuasa penuh bagi melaksanakan program dan perancangan bandar Kuala Lumpur. Kedua, kejayaan penggunaan teknologi terkini dalam memungut tol dalam bandar iaitu wireless dan touchless, selain penggunaan tiang yang mempunyai alat bagi menolak nilai dalam kad bagi setiap kenderaan yang melaluinya.

Ia tidak menggunakan Smartag atau Touch’n’Go kerana kedua-dua sistem tersebut sebenar telah ketinggalan agak kebelakang dan menyebabkan kesesakan kerana kenderaan perlu diperlahankan atau berhenti untuk menyentuh kad.
Menggalak kongsi keretaApa pun kata kata Abd. Rahim, pelbagai insentif boleh diberi bagi menggalakkan orang ramai berkongsi kereta. ‘‘Contohnya, memberi subsidi bayaran parkir kereta kepada pemilik yang sudi berkongsi kereta. Dana kerajaan yang diperuntukkan untuk pengangkutan awam sebahagiannya boleh digunakan membayar pemilik parkir. Ini akan menggalakkan lebih ramai yang ingin berkongsi kereta. ‘‘Begitu juga dengan membiayai PKK komuniti bagi memberi lebih ramai yang menyertai program ini dan mendapat padanan kongsi kereta yang sesuai. ‘‘Menaikkan kadar bayaran parkir yang tinggi bagi pemilik kereta persendirian, mungkin sekali masuk sehingga RM15 hingga RM20 dan bukannya setakat RM3 seperti sekarang,’’ jelasnya yang berharap kempen kongsi kereta berjaya dilaksanakan suatu hari nanti sekali gus menjadi jawapan kepada masalah kesesakan di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment