Seawal usia sebaik sahaja aku menceburu bidang ini hatiku terus berkata inilah kerjayaku sehingga ke akhir hayatku. Pelbagai persepsi dan pandangan yang kudengar mengenai kerjaya seorang guru, dan yang paling aku tidak faham ialah mereka bukan memperkatakan pasal jasa dan bakti guru mendidik anak bangsa tetapi yang meniti dari bibir ke bibir mereka ialah gaji guru yang kecil dan tak cukup makan. Benar atau tidak persepsi mereka itu, hanya mereka sahaja yang tahu kerana aku punya alasan untuk menangkis segala yang mereka perkatakan. Bagiku kalau gaji yang dijadikan alasan untuk menghina kerjaya perguruan ini, ternyata mereka silap kerana guru merupakan pejawat awam dan semua pejawat awam tidak mengira di jabatan mana mereka bekerja gaji memang ditentukan berdasarkan kelulusan. Sebagai contohnya, kalau pegawai tersebut berkelulusan SPM maka gajinya sama dengan guru yang berkelulusan SPM. Jadi, apa istimewanya dia dan kurang istimewanya guru pada pandangan masyarakat setempat.
Mengapa gaji guru yang diungkit dan bukan jasa dan bakti guru yang dibangkit?
Sepanjang perjalanan ini, lembah dan lurah kulewati, ranjau dan duri kehidupan menjadi seorang guru banyak yang telah kurasa dan kecapi. Setelah menyelam ke dasar dan menghayati sehingga ke lapisan paling berseni, hidup sebagai seorang guru terlalu indah dan memikat hari. Kemanisan yang serasa madu menjadikan aku terus tabah dan lincah menjadi seorang guru tanpa rasa bosan dan jemu. Hari-hari yang kulalui bersama-sama rakan-rakan sejawat dan anak-anak didiku bagaikan berbulan madu di awan nan biru. Indahnya dunia seorang guru hanya guru sahaja yang dapat melukis keindahannya. Walau pelukis terhebat di alaf ini sekalipun, saya jamin dia tidak mampu menterjemahkan keindahan hidup menjadi guru dengan berus lukisan keramatnya. Jadi, tanpa memperdulikan pandangan serong masyarakat yang haru-biru mengenai guru aku terus bertahan biarpun dihujani peluru yang ditembak menggunakan pistol palsu.
Sunday, March 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment