Tuesday, March 17, 2009

GURU DIBERI KUASA RAMPAS TELEFON BIMBIT


PUTRAJAYA 17 Mac - Kementerian Pelajaran hari ini memberi kuasa penuh kepada pihak sekolah khasnya guru disiplin untuk merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah.Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, semua sekolah telah dimaklumkan supaya tegas dalam melaksanakan arahan itu kerana sebelum ini terdapat sekolah yang teragak-agak untuk mengambil tindakan tersebut.''Peraturan menghalang pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah telah lama diwujudkan tetapi ada sekolah yang masih serba salah untuk merampas telefon bimbit pelajar.''Tetapi mulai esok, peraturan ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya di mana pihak sekolah perlu merampas semua telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di sini hari ini.Ka Siong berkata, semua telefon bimbit yang dirampas hanya boleh dituntut oleh ibu bapa pelajar dan mereka akan dimaklumkan supaya jangan membenarkan anak mereka mengulangi kesalahan yang sama.''Sebelum ini kita mengesan terdapat pelajar yang sering kali mengulangi kesalahan membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ibu bapa mereka sanggup menuntut telefon itu di sekolah.''Walaupun telefon bimbit dilarang, ibu bapa sebenarnya masih boleh menghubungi anak mereka melalui pihak sekolah manakala pelajar juga boleh menghubungi ibu bapa mereka melalui telefon awam atau telefon sekolah sekiranya berlaku hal kecemasan," katanya.Beliau berkata, larangan telefon bimbit ke sekolah perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia sering kali dikaitkan dengan masalah disiplin pelajar serta mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.''Melalui telefon bimbit juga, pelajar telah menghantar dan menerima bahan yang bukan-bukan di dalam kelas," katanya.

No comments:

Post a Comment