INTERNET kini telah menjadi sebahagian daripada kemudahan yang penting dalam kehidupan kita, berbeza dari zaman sebelum wujudnya Internet. Internet atau alam siber telah memudahkan kehidupan kita dengan membolehkan komunikasi dan transaksi dilaksanakan secara online.Antara kemudahan yang diperoleh daripada kemudahan Internet antaranya ialah kita tidak lagi perlu beratur untuk membuat transaksi bank atau membayar bil. Maka kita dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas dan boleh menjimatkan tenaga dan masa. Dengan adanya Internet, kita juga boleh membaca ruangan ini secara maya dengan hanya melayari Utusan Online.
Bagaimanapun, faktor kemanusiaan amat penting dalam menentukan sama ada teknologi dapat dimanfaatkan dengan baik ataupun disalahgunakan.Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kes gambar peribadi seorang ahli politik yang disebarkan di Internet tanpa pengetahuan apatah lagi kebenarannya. Ini adalah satu contoh pencerobohan hak peribadi individu. Malangnya, isu sebegini masih belum ada proses penyelesaian berkesan terutamanya jika melibatkan penerbitan di luar negara. Kebanyakan kes seperti ini masih tertunda dan tidak terbela. Selain daripada pencerobohan hak peribadi, antara jenis-jenis penyalahgunaan Internet ialah seperti hasutan melalui blog, penipuan Internet seperti skim cepat kaya dan lain-lain lagi.
Secara peribadi, saya merasakan mungkin perlu ada satu sistem perundangan dan kehakiman siber yang bersifat lebih universal bagi menangani isu-isu jenayah siber.Selain itu juga, kita boleh mengelak daripada menjadi mangsa jenayah siber dengan mengambil langkah-langkah pencegahan, ini kerana saya merasakan mencegah adalah lebih baik daripada merawat.Saya ingin menasihatkan para pembaca supaya lebih bijak dalam menggunakan kemudahan yang ada, serta tidak mengambil peluang menyalahgunakan semua kemudahan tersebut seperti mengambil gambar-gambar yang terlalu peribadi kerana ia mungkin boleh disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia
No comments:
Post a Comment