Mentaliti dalam tingkatkan nilai modal insan
Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
KERJA, mungkin itulah perkataan paling hangat meniti di bibir kebanyakan kita. Dalam keadaan ekonomi yang gawat, kita mula sedar betapa mempunyai satu pekerjaan tetap yang terjamin adalah sesuatu yang berharga.Keadaan sungguh berbeza semasa ekonomi rancak berkembang. Pada masa itu kita bercakap soal nilai rumah atau hartanah yang melambung, dan saham yang melonjak tinggi.
Bercakap soal kerja? Mungkin tidak kita pedulikan sangat. Fokus kita ialah pada pelaburan hartanah dan saham. Tumpuan kepada kerja merosot dan kita tidak acuh untuk meningkatkan nilai diri.Semasa ekonomi berkembang pesat, mentaliti kebanyakan kita adalah untuk memiliki seberapa banyak hartanah dan portfolio saham yang mungkin. Impian utama untuk bergantung dengan hasil sewa dan dividen yang diperolehi. Kita hendak 'bersara' awal kerana sewa dan dividen sudah cukup untuk kita bersenang-lenang di rumah dan tidak perlu bekerja lagi.
Tetapi, apabila krisis melanda, betapa kita sedar bahawa nilai kekayaan itu sebenarnya datang daripada diri kita sendiri, modal insan. Rupa-rupanya pendidikan dan latihan yang kita terima sebelum ini, perkara itulah yang sangat berharga semasa kegawatan ekonomi.Krisis ekonomi semasa menyaksikan betapa ramai yang jatuh miskin. Hartanah dan saham merudum teruk. Paling parah apabila ada harta yang terpaksa dilelong dan simpanan sudah kehabisan kerana habis dibelanjakan semasa zaman senang. Pada masa inilah ramai yang melihat kembali kepada nilai memiliki sebuah pekerjaan yang terjamin pendapatannya. Konsep modal insan (human capital) yang dipopularkan oleh pemegang anugerah Nobel EKonomi, Gary Becker, terbukti mempunyai nilai ekonomi yang tinggi berbanding dengan nilai hartanah atau saham. Baker menyifatkan bahawa dalam sebuah negara perindustrian, 75 hingga 80 peratus keupayaan ekonomi seseorang datang daripada modal insan yang dimilikinya. Malang, kerana ramai terlupa akan kepentingan modal insan semasa ekonomi berkembang.
Sebaliknya, ramai yang memikirkan untuk meningkatkan nilai modal insan diri semasa ekonomi gawat. Buktinya, peratusan yang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana adalah lebih tinggi semasa ekonomi dilanda krisis berbanding semasa ekonomi mantap. Kita mulai sedar betapa kita ingin menjadi seorang pekerja terbaik yang boleh memberikan nilai tambah yang tinggi kepada syarikat. Kita berharap untuk mempunyai kelulusan atau kemahiran yang tinggi. Malangnya, tatkala ekonomi menguncup, pekerjaan begitu sukar dicari dan yang ada pun belum pasti.
No comments:
Post a Comment